Seorang pegawai tentera mungkin mempunyai rancangan keseluruhan tetapi sebelum setiap pertempuran, dia mesti menerima dan memberi arahan baru. Yosua, pemimpin umat Israel, terpaksa mempelajari hal ini. Selepas umat Tuhan berada di padang gurun selama 40 tahun, Tuhan memilih Yosua untuk memimpin mereka masuk ke tanah yang dijanjikan-Nya kepada mereka.
Halangan pertama yang dihadapi mereka ialah kota Yerikho. Sebelum pertempuran, Yosua melihat “panglima tentera Tuhan (kemungkinan Tuhan sendiri) berdepan dengannya sambil memegang pedang di tangan-Nya. Yosua pun bersujud menyembah. Dengan kata lain, dia mengenali kebesaran Tuhan dan kerendahan dirinya sendiri. Lalu dia bertanya, “Saya hamba tuan. Apakah perintah tuan kepada saya?” (Yosua 5:14). Yosua mengalami kemenangan di Yerikho kerana dia mematuhi arahan Tuhan.
Pada situasi lain pula, Yosua dan rakyatnya “tidak meminta petunjuk daripada Tuhan” (9:14). Akibatnya, mereka telah tertipu untuk membuat perjanjian perdamaian dengan rakyat Gibeon, musuh di tanah Kanaan. Hal ini tidak menyenangkan hati Tuhan (ayat 3-26).
Kita juga berharap kepada Tuhan dalam menghadapi cabaran kehidupan. Dia menginginkan kita datang kepada-Nya dengan rendah hati pada hari ini. Kehadiran-Nya juga kekal untuk kita pada hari esok.
Minta kepada Tuhan untuk menunjukkan jalan.
Berkongsi respons anda kepada persoalan ini dalam laman Facebook kami: http://goo.gl/FFCb71