Setelah saya tidak lagi melancong bersama ibu bapa saya, jarang sekali saya melawat datuk dan nenek saya yang tinggal jauh dari kami. Lalu pada suatu tahun, semasa hujung minggu, saya membuat keputusan menaiki kapal terbang untuk melawat mereka di pekan kecil Land O’ Lakes, Wisconsin. Sementara dalam perjalanan ke lapangan terbang pada akhir lawatan saya, nenek yang tidak pernah menaiki kapal terbang mula menyatakan perasaan takutnya kepada saya: “Kapal terbang yang kamu naiki itu sangat kecil … Tiada apa-apa yang benar-benar memegang kamu di atas sana bukan? … Saya akan berasa sangat takut untuk berada di tempat yang begitu tinggi.”
Apabila saya menaiki kapal terbang kecil tersebut, saya pula menjadi takut seolah-olah ini penerbangan pertama saya. Apakah yang sebenarnya memegang kapal terbang ini?
Ketakutan yang tidak rasional mahupun ketakutan sebenar, segala ini tidak seharusnya menakutkan kita. Daud hidup sebagai seorang pelarian, takut akan Raja Saul yang tidak pernah berhenti mengejarnya kerana dia iri hati atas populariti Daud di kalangan rakyatnya. Daud menemui ketenangan sejati serta penghiburan hanya dalam perhubungannya dengan Tuhan. Dalam Mazmur 34, dia menulis: “Aku berdoa kepada Tuhan dan Dia mengabulkan doaku, Dia membebaskan aku daripada segala ketakutan” (ayat 5).
Bapa syurgawi kita maha bijak dan maha kasih. Apabila ketakutan mula menguasai kita, kita perlu berhenti sejenak lalu mengingati bahawa Dialah Tuhan dan Dia akan sentiasa memegang kita.