Beberapa tahun lalu, saya dan isteri saya, Carolyn, telah berkhemah selama beberapa hari di dataran Gunung Rainier di negeri Washington, Amerika Syarikat. Sekembalinya kami ke tapak perkhemahan pada suatu petang, kami ternampak dua ekor beruang di tengah-tengah padang, yang sedang berlawan. Kami berhenti sejenak untuk memperhatikan mereka.

Seorang pendaki berdiri berdekatan kami, lalu saya bertanya apa sebabnya dua ekor beruang ini berlawan. “Kerana seekor beruang betina,” dia menjawab.

“Di manakah dia?” saya bertanya.

“Oh, dia sudah pergi sejak 20 minit lalu” dia menjawab ambil tertawa. Oleh itu, saya merumuskan bahawa konflik dua ekor beruang ini bukan lagi disebabkan oleh beruang betina tesebut, tetapi tentang menjadi beruang yang paling kuat.

Kebanyakan pertengkaran bukan disebabkan oleh sesuatu polisi atau prinsip, mahupun kerana benar atau salah; selalunya ia mengenai keangkuhan seseorang. Orang bijak dalam Amsal menonjolkan akar permasalahan ini apabila dia menulis: “Kesombongan hanya membawa kesusahan” (13:10). Pertengkaran diapi-apikan oleh kesombongan, dengan merasakan bahawa diri sendiri sahaja yang benar, menginginkan cara sendiri, atau ingin membela ego kita masing-masing.

Pada pihak sebelah pula, kebijaksanaan boleh ditemui pada mereka yang dinasihati dengan baik—yakni orang yang mendengar serta belajar, mereka yang membenarkan diri sendiri untuk diarahkan. Terdapat kebijaksanaan dalam diri mereka yang sanggup merendah hati—mereka yang tidak mementingkan diri sendiri; mengaku akan keterbatasan pengetahuan sendiri; mendengar pandangan orang lain; membenarkan cadangan sendiri diperbetulkan. Inilah kebijaksanaan daripada Tuhan yang menyebarkan kedamaian.