Sementara saya duduk dalam bilik menunggu pembedahan, saya ada masa untuk berfikir. Saya pernah berada di sini sebelum ini, ketika saya menerima berita buruk bahawa satu-satunya adik lelaki saya, yang masih muda, meninggal dunia akibat “mati otak.”
Jadi pada hari ini, sementara menunggu berita mengenai isteri saya yang sedang menjalani pembedahan serius, saya menunggu sambil mendengar suara Tuhan yang lembut.
Tiba-tiba, ada berita! Pakar bedah ingin berjumpa dengan saya. Saya masuk ke dalam bilik terasing untuk menunggu. Di atas meja bilik itu, terdapat dua kotak tisu yang sudah dibuka. Ia pasti bukan untuk orang yang menghidap selesema. Ia adalah untuk mengesat air mata apabila mendengar kata-kata seperti masa adik saya meninggal dunia—“mati otak” dan “tiada lagi apa-apa yang dapat kami lakukan.”
Pada waktu kesedihan mahupun ketidakpastian, ketulusan dalam kitab Mazmur menjadi teladan yang boleh kita contohi. Mazmur 31 adalah rintihan hati Daud, yang mengalami begitu banyak kesusahan sehingga dia menulis, “Kedukaan telah menyingkatkan hidupku” (ayat 11). Lebih teruk lagi, kedukaan yang dialaminya akibat daripada kesakitan yang ditinggalkan oleh sahabat dan jirannya (ayat 12).
Namun Daud mempunyai iman yang teguh terhadap Tuhan yang benar. “Tetapi aku berharap kepada-Mu, ya TUHAN; Engkaulah Allahku. Aku sentiasa berada dalam jagaan-Mu; selamatkanlah aku daripada musuhku dan daripada mereka yang menganiaya aku” (ayat 15-16). Ratapannya diakhiri dengan dorongan serta harapan. “Kuatkanlah dan teguhkanlah hati kamu, kamu semua yang berharap kepada TUHAN” (ayat 25).
Kali ini di bilik menunggu, pakar bedah memberitahu kami berita baik ini: Isteri saya dijangka akan pulih sepenuhnya. Namun sekiranya dia tidak “okey” pun, hidup kami terletak dalam tangan Tuhan.