Pertama kali saya ternampak kejadian itu, walaupun sepintas lalu sahaja, adalah ketika saya masih seorang pelajar di universiti. Pada malam musim luruh yang dingin, jauh dari kelipan-kelipan lampu di bandar, saya menaiki sebuah gerabak kereta api yang sarat dengan rumput kering dan kawan-kawan yang bising, tiba-tiba langit menjadi cerah dan terdapat banyak warna kelihatan di ufuk. Saya terpukau. Semenjak malam itu, saya terpesona dengan fenomena yang dipanggil aurora borealis, juga dikenali sebagai northern lights (cahaya utara). Biasanya cahaya tersebut kelihatan jauh di kawasan utara, tempat tinggal saya, namun adakalanya ia boleh kelihatan di kedudukan yang lebih rendah. Saya amat ingin menyaksikan fenomena ini lagi. Jadi bila-bila masa apabila saya melihat bahawa terdapat tanda-tanda cahaya tersebut, saya akan memberitahu kawan-kawan saya, “Mungkin malam ini … ”

Dalam firman Tuhan, cahaya dan kemuliaan digunakan untuk menggambarkan kedatangan Tuhan. Hari itu akan datang apabila matahari dan bulan tidak lagi diperlukan (Yesaya 60:19). Ketika menggambarkan Tuhan atas takhta-Nya, rasul Yohanes menulis, “Mukanya bersinar seperti batu jasper dan batu sardis. Takhta itu dikelilingi oleh pelangi yang bersinar seperti zamrud” (Wahyu 4:3).

Lingkaran zamrud merupakan gambaran yang sesuai untuk menggambarkan cahaya utara ini. Oleh itu, bila-bila masa saya melihat pancaran cahaya di langit—sama ada secara langsung atau melalui gambar atau video—saya membayangkan apa yang akan berlaku pada masa hadapan, dan saya memuji Tuhan kerana pada masa sekarang pun kemuliaan-Nya sudah menembusi kegelapan.