Saya membiasakan diri membaca majalah digital, dan saya berasa gembira kerana saya menyelamatkan pokok. Tambahan pula, saya tidak perlu menunggu majalah datang melalui kiriman pos. Bagaimanapun, saya masih merindui edisi bercetak kerana saya suka menggerakkan jari-jari saya pada halaman-halaman yang berkilat dan menggunting resipi kegemaran saya.
Saya juga mempunyai Alkitab edisi digital pada peranti bacaan saya. Tetapi saya masih mempunyai Alkitab bercetak kegemaran saya—yang telah saya menggaris dan baca berkali-kali. Kita tidak tahu masa hadapan bagi halaman bercetak, tetapi satu perkara yang kita tahu: Tempat terbaik untuk menyimpan firman Tuhan bukan pada telefon bimbit kita, alat bacaan elektronik, atau meja di tepi katil.
Dalam Mazmur 119 kita membaca tentang menghargai Kitab Suci dalam hati kita: “Aku menyimpan hukum-Mu dalam hatiku” (ayat 11). Tiada perkara lain yang lebih penting daripada merenung firman Tuhan, belajar lebih banyak tentang Dia, dan mengamalkannya dalam kehidupan seharian kita. Tempat terbaik untuk menyimpan firman-Nya terletak jauh di dalam jiwa kita.
Kita mungkin mempunyai banyak alasan untuk tidak membaca, merenungkan, atau menghafal, tetapi kita memerlukan firman Tuhan. Saya berdoa agar Tuhan akan menolong kita menyimpan firman-Nya di tempat yang terbaik—hati kita.