Suami anak saudara perempuan saya menulis kata-kata ini di media sosial: “Saya mahu menulis lebih banyak lagi dalam talian kalau bukan adanya suara kecil yang melarang saya daripada melakukannya. Sebagai pengikut Yesus, anda mungkin berfikir suara kecil ini datang daripada Roh Kudus. Bukan. Suara kecil itu adalah suara isteri saya, Heidi.”

Dengan senyuman, timbul suatu fikiran yang serius. Langkah berhati-hati seorang kawan yang arif memantulkan hikmat Tuhan. Pengkhutbah 9 menyatakan bahawa “lebih baik mendengar kata-kata lembut orang yang berilmu” (ayat 17).

Alkitab menasihatkan kita supaya tidak menganggap diri kita lebih bijaksana daripada yang sebenarnya mahupun bersikap sombong (Amsal 3:7; Yesaya 5:21; Roma 12:16). Dengan kata lain, janganlah menganggap bahawa kita mempunyai jawapan untuk semua persoalan! Amsal 19:20 berkata, “Orang yang suka mendengar nasihat dan mahu belajar akan menjadi bijaksana kelak.” Sama ada dia seorang sahabat, pasangan suami atau isteri, pastor ataupun rakan sekerja, Tuhan boleh menggunakan orang lain untuk mengajar kita lebih banyak berkenaan hikmat-Nya.

“Hikmat terdapat pada fikiran orang bijak,” kata kitab Amsal (14:33). Salah satu cara untuk mengenal hikmat Roh Kudus adalah saling mendengar dan belajar daripada satu sama lain.