Dalam autobiografinya, Corrie ten Boom menceritakan pengalamannya yang dahsyat bersama kakak sulungnya, Betsie dalam sebuah kem tahanan Nazi pada awal tahun 1940-an. Malah mereka pernah dipaksa untuk menanggalkan pakaian mereka waktu pemeriksaan badan. Corrie berdiri dalam barisan dan berasa dinajiskan dan ditinggalkan. Tiba-tiba dia teringat Yesus yang disalibkan juga berada dalam keadaan yang telanjang. Dilanda perasaan kagum dan pujian, Corrie berbisik kepada kakaknya, “Betsie, pakaian-Nya juga diambil oleh mereka.” Betsie tercengang dan berkata, “Oh, Corrie, … dan saya tidak pernah berterima kasih kepada-Nya.”
Kita tinggal di dunia yang penuh dengan masalah, pergelutan, dan kesusahan, ini amat sukar bagi kita untuk berasa syukur. Setiap hari kita boleh mencari banyak alasan untuk merungut. Bagaimanapun, Mazmur 100 mendorong umat Tuhan supaya bergembira, bersukacita dan bersyukur kerana “Akuilah bahawa TUHAN itu Allah. Dia mencipta kita, dan kita kepunyaan-Nya; kita umat-Nya, bangsa yang dipelihara-Nya (ayat 3). Apabila kita ingat siapa diri kita, kita dapat memberi respons dengan mengucapkan syukur. Mahupun pada masa yang paling buruk, kita dapat ingat kasih Kristus dan pengorbanan-Nya untuk kita.
Jangan membiarkan kejahatan dunia ini meragut hati anda yang bersyukur. Ingatlah bahawa anda ialah anak Tuhan dan Dia telah menampakkan kebaikan dan belas kasihan-Nya kepada anda melalui pekerjaan-Nya di kayu salib.