A-poe-la-pi adalah seorang penduduk yang berumur lanjut dari puak Akha, satu puak berasal dari bukit dan tinggal di pergunungan wilayah Yunnan di China. Apabila kami melawat dia pada satu lawatan misi baru-baru ini, A-poe-la-pi memberitahu kami bahawa dia tidak dapat menghadiri kelas Alkitab mingguan baru-baru ini disebabkan hujan lebat. Oleh itu, dia merayu kepada kami, “Bolehkah kamu berkongsi firman Tuhan dengan saya?”
A-poe-la-pi tidak pandai membaca, oleh itu, kelas mingguan tersebut adalah sangat penting untuknya. Semasa kami membaca petikan Alkitab untuknya, dia mendengar dengan penuh perhatian. Sikapnya yang bersungguh-sungguh itu mengingatkan saya, apabila kita mendengar dengan sepenuh hati kepada cerita-cerita dalam firman Tuhan yang mengilhami, kita memberi penghormatan kepada Tuhan.
Dalam kitab Ulangan fasal 4, Musa menggesa umat Israel mematuhi segala hukum dan peraturan yang diajarkannya kepada mereka (ayat 1). Dia mengingatkan mereka bahawa sumber serta inspirasi di sebalik ajaran itu adalah Tuhan sendiri, yang sudah berfirman kepada mereka “dari dalam api itu” di Sinai (ayat 12). Musa berkata, “Dia memberitahu kamu apa yang harus kamu lakukan untuk menepati perjanjian … kamu mesti mematuhi Sepuluh Hukum … ” (ayat 13).
Semoga keinginan A-poe-la-pi untuk mendengar firman Tuhan dapat mendorong kita bersikap sedemikian. Seperti yang diingatkan oleh rasul Paulus kepada kita dalam 2 Timotius 3:15-16, Alkitab yang mengilhami telah diberikan untuk kebaikan serta pertumbuhan kita—agar kita menjadi bijaksana dalam hal penyelamatan serta jalan Tuhan.
