Pernahkah anda mengalami situasi apabila anda sudah berusaha dengan segala cara untuk menyelesaikan sesuatu masalah tetapi didatangi pula dengan masalah yang baru? Anda bersyukur kepada Tuhan pada malam hari kerana masalah itu telah diselesaikan tetapi bangun pagi dan mendapati bahawa ada sesuatu yang tidak kena dan masalah itu masih wujud.

Sepanjang pengalaman seumpama itu, saya sedang membaca kitab Lukas dan kagum akan kata-kata fasal 18 yang bermula dengan: “Kemudian Yesus menceritakan perumpamaan ini untuk mengajar pengikut-pengikut-Nya supaya sentiasa berdoa dan tidak putus asa” (ayat 1). Saya telah banyak kali membaca cerita mengenai balu yang tidak putus asa ini, tetapi saya tidak pernah benar-benar memahami sebabnya Yesus menyampaikan cerita ini (ayat 2-8). Sekarang saya mengaitkan kata-kata permulaan itu dengan cerita ini. Pengajaran kepada para pengikut-Nya adalah jelas sekali: “Sentiasa berdoa dan tidak putus asa.”

Berdoa bukanlah mengugut Tuhan untuk melakukan sesuatu mengikut kehendak kita. Ia merupakan satu proses untuk mengenali kuasa dan rancangan-Nya dalam kehidupan kita. Melalui doa, kita menyerahkan kehidupan dan keadaan kita kepada Tuhan dan percaya kepada-Nya untuk bertindak menurut cara dan masa-Nya.

Apabila kita bergantung kepada rahmat Tuhan bukan hanya untuk jawapan doa kita, malah untuk prosesnya juga, kita boleh terus-menerus datang kepada Tuhan dalam doa kita, sambil mempercayai hikmat-Nya dan penjagaan-Nya bagi kita.

Dorongan Tuhan kepada kita adalah jelas: Sentiasa berdoa dan jangan putus asa!