Apabila seorang mandur pembinaan jalan terbunuh dalam suatu kemalangan, kasih sayang orang itu terhadap keluarganya, rakan sekerjanya, dan masyarakat menyebabkan rasa kehilangan yang amat besar. Gerejanya di kampung tidak dapat menampung semua orang yang berkabung, lalu para pengurus memindahkan kebaktian pengebumian itu ke sebuah bangunan yang lebih besar. Auditorium itu dibanjiri oleh kawan dan keluarganya. Mesej ini adalah jelas: Tim menyentuh ramai jiwa dengan cara uniknya. Ramai individu akan merindui kebaikan, kelucuan, dan keghairahan-nya terhadap kehidupan.
Apabila saya balik daripada upacara pengebumian itu, saya terfikir tentang kehidupan Raja Yehoram. Betapa besarnya perbezaan ini! Pemerintahannya yang singkat dan zalim telah dicatatkan dalam 2 Tawarikh 21. Untuk mengukuhkan kekuasaannya, Yehoram membunuh semua saudara lelakinya dan beberapa orang pegawai tinggi (ayat 4). Kemudian, dia memimpin kerajaan Yehuda untuk menyembah berhala. Mengikut catatan, “Tiada sesiapa pun berasa sedih ketika baginda mangkat” (ayat 20). Yehoram beranggapan bahawa kuasa keras akan menjamin warisannya. Hal ini benar-benar berlaku. Dia diperingati sebagai orang jahat dan pemimpin yang mementingkan diri dalam Alkitab selama-lamanya.
Walaupun Yesus juga seorang raja, Dia datang ke bumi ini untuk menjadi hamba. Apabila Dia pergi ke merata-rata tempat untuk melakukan kebaikan, Dia menanggung kebencian orang yang mengutamakan kuasa. Dalam proses itu, Raja berjiwa hamba ini mengorbankan nyawa-Nya.
Pada hari ini, Yesus hidup dengan warisan-Nya. Warisan ini merangkumi sesiapa yang memahami bahawa kehidupan bukan sahaja mengenai diri mereka sendiri. Ia adalah mengenai Yesus—Tuhan yang amat ingin memeluk sesiapa yang kembali kepada-Nya dengan lengan yang kuat dan memberikan pengampunan.
meninggalkan warisan yang kekal.
