Apabila makam Raja Mesir, Tutankhamen, ditemui pada tahun 1922, ia dipenuhi dengan pelbagai benda yang dianggap penting bagi orang Mesir purba, untuk kehidupan selepas kematian. Antara benda-benda seperti keramat emas, barang kemas, pakaian, perabot, dan senjata, terdapat satu bekas berisi madu—yang masih boleh dimakan walaupun selepas 3,200 tahun!

Pada hari ini, kita selalu menganggap madu sebagai satu bahan pemanis, tetapi pada zaman purba, ia mempunyai banyak kegunaan lain. Madu merupakan satu-satunya bahan makanan yang diketahui mempunyai semua zat makanan yang penting untuk menampung kehidupan, oleh itu, ia dimakan untuk menambahkan nutrisi. Selain itu, madu juga mempunyai nilai perubatan. Makanan yang tertua ini digunakan sebagai ubat untuk mengubati luka kerana ia mempunyai khasiat untuk mengelakkan jangkitan.

Apabila Tuhan membebaskan umat Israel daripada tawanan Mesir, Dia berjanji untuk membawa mereka ke “suatu negeri yang berlimpah-limpah susu dan madunya” (Keluaran 3:8,17, Alkitab TB), satu metafora untuk menunjukkan kelimpahan tanah itu. Apabila masa perjalanan mereka dilanjutkan kerana mereka berdosa, Tuhan memberi mereka makan roti (manna) yang rasanya seperti biskut yang dibuat dengan madu (16:31). Umat Israel merungut tentang makanan yang asyik sama saja, tetapi hal itu sebenarnya seolah-olah dilakukan sebagai peringatan tentang apa yang bakal dinikmati apabila mereka berada di Tanah Perjanjian kelak.

Tuhan masih menggunakan madu sebagai peringatan bahawa ketetapan dan kata-kata Tuhan adalah lebih manis daripada madu (Mazmur 19:11). Oleh itu, kata-kata kita juga seharusnya seperti madu yang kita makan—manis serta menyembuhkan.