Henry bekerja 70 jam seminggu. Dia menyukai pekerjaannya dan membawa balik gaji yang lumayan untuk menampung keperluan keluarganya. Dia selalu mempunyai rancangan untuk mengurangkan kerjanya, tetapi dia tidak pernah melakukan sedemikian. Pada suatu petang, dia membawa balik suatu berita gembira—dia telah dinaikkan pangkat ke jawatan tertinggi di syarikatnya. Tetapi tidak ada orang di rumah. Setelah bertahun-tahun, anak-anaknya telah menjadi dewasa dan sudah berpindah keluar dari rumah, isterinya pula mempunyai kerjayanya sendiri, sekarang rumahnya kosong. Tidak ada sesiapa boleh berkongsi berita gembira tersebut dengannya.

Salomo pernah mengatakan tentang kepentingan untuk memastikan keseimbangan dalam hidup dan pekerjaan kita. Dia menulis, “ … hanya orang bodoh berpangku tangan dan mati kelaparan” (Pengkhutbah 4:5). Kita tidak mahu sampai ke tahap pemalas, tetapi kita juga tidak mahu jatuh ke dalam perangkap untuk menjadi seorang yang terlalu sibuk dengan pekerjaan. “ … tetapi lebih baik mempunyai sedikit disertai fikiran tenang, daripada sentiasa bekerja keras dengan dua belah tangan dan mengejar angin” (ayat 6). Dengan kata lain, adalah lebih baik untuk mempunyai sedikit dan lebih menikmatinya. Perhubungan yang dikorbankan demi kerjaya adalah perbuatan yang kurang bijak. Sebarang pencapaian dalam kerjaya adalah untuk sementara sahaja, manakala perhubungan yang membuat hidup kita lebih bermakna, menguntungkan, serta menyeronokkan (ayat 7-12).

Kita boleh belajar sekarang bekerja untuk hidup dan bukan hidup untuk bekerja, dengan memilih membahagikan masa kita dengan bijak. Tuhan dapat memberikan kebijaksanaan kepada kita apabila kita mendekati dan percaya kepada Dia sebagai sumber keperluan kita.