Tumbuhan Perangkap Lalat Venus dapat menghadamkan serangga dalam masa lebih kurang 10 hari. Proses bermula apabila serangga yang tidak berjaga-jaga menghidu bau madu bunga pada daun yang membentuk perangkap tersebut. Apabila serangga itu mula mendekati, ia akan merangkak masuk ke dalam mulut tumbuhan tersebut. Daunnya kemudian terus mencengkam tutup dalam masa setengah saat dan cecair pencernaan pun mula menghancurkan serangga itu.

Tumbuhan yang memakan daging ini mengingatkan saya bahawa dosa juga dapat memakan kita apabila kita digoda untuk melakukannya. Dosa lapar akan kita. Kejadian 4:7 berkata, “ … jika engkau melakukan yang jahat, maka dosa menunggu untuk masuk ke dalam hatimu. Dosa hendak menguasai dirimu.” Tuhan menyatakan kata-kata ini kepada Kain sebelum Kain membunuh adiknya, Habel.

Dosa mungkin mencubai kita dengan pengalaman baru, meyakinkan kita bahawa hidup dengan benar adalah tidak penting, atau ia akan cuba menggoda keinginan fizikal kita. Walau bagaimanapun, terdapat satu cara untuk kita mengatasi dosa dan tidak membiarkan dosa menguasai hidup kita. Alkitab berkata, “Biarlah Roh Allah memimpin hidup kamu dan janganlah hidup menurut keinginan tabiat manusia” (Galatia 5:16). Apabila kita berdepan dengan godaan, kita tidak menghadapinya sendirian. Kita mempunyai bantuan yang berasal dari syurga. Jika kita bergantung kepada Roh Tuhan, ini akan memberikan kita kuasa untuk hidup bagi Dia dan orang lain.