Sue menginginkan kehidupan rohani yang matang dan menjadi seorang yang semakin bersyukur. Maka dia menyediakan sebuah balang yang disebutnya balang Pengucapan Syukur. Setiap petang dia akan menulis satu pengucapan syukurnya kepada Tuhan pada sekeping kertas kecil, kemudian memasukkannya ke dalam balang tersebut. Ada waktunya dia menulis banyak ucapan syukur; namun pada hari-hari yang sukar, dia sangat susah untuk bersyukur. Pada akhir tahun, dia mengeluarkan semua isi balang itu dan membaca keseluruhan nota tersebut. Dia mengucap syukur sekali lagi kepada Tuhan untuk segala sesuatu yang telah dilakukan Tuhan dalam hidupnya. Tuhan telah memberikan perkara yang serba sederhana sahaja seperti keindahan waktu matahari terbenam atau kenyamanan waktu petang ketika bersiar-siar di taman, manakala pada masa yang lain pula, Dia telah menyediakan kemampuan untuk menyelesaikan situasi yang sukar termasuk mengabulkan permohonan doanya.

Penemuan Sue mengingatkan saya akan kata pemazmur Daud tentang apa yang dialaminya (Mazmur 23). Tuhan menyegarkan dia dengan “padang rumput yang hijau” dan “air yang tenang” (Ayat 2-3). Dia membimbing, melindungi, dan menghiburkan (Ayat 3-4). Daud menyimpulkan: “Aku tahu Engkau baik kepadaku dan mengasihi aku seumur hidupku … ” (Ayat 6).

Saya akan membuat sebuah balang Pengucapan Syukur tahun ini. Mungkin anda juga boleh berbuat demikian. Saya pasti kita akan mendapati bahawa ada banyak sebab yang kita boleh bersyukur kepada Tuhan—termasuklah dengan memberi kita teman-teman dan keluarga kita, serta membekalkan keperluan kita dari segi fizikal, rohani dan emosi.