Minggu-minggu selepas Krismas adalah masa yang paling sibuk di Amerika. Ini kerana ramai orang menjual hadiah-hadiah yang tidak dikehendaki untuk mendapatkan barang-barang yang benar-benar diingini. Namun anda mungkin mengenal segelintir orang yang tahu memberikan hadiah yang sempurna. Bagaimanakah mereka tahu tentang apa yang dihargai oleh orang lain dan apa yang sesuai bagi mereka? Kunci utama dalam memberikan hadiah bukan wang, melainkan sikap kita yang sudi mendengar dan memahami apa yang disukai dan dihargai orang lain.
Ini memang benar dalam hal pemberian hadiah kepada keluarga dan kawan-kawan. Tetapi bagaimana pula dengan Tuhan? Adakah sesuatu yang bermakna atau bernilai yang kita dapat berikan kepada Tuhan? Adakah sesuatu yang tidak dimiliki oleh Tuhan lagi?
Roma 11:33–36 ialah sebuah lagu pujian, kita digesa untuk memuji Tuhan kerana kebijaksanaan, pengetahuan dan kemuliaan-Nya yang hebat. “Saudara-saudaraku! Kerana Allah sangat baik kepada kita, aku menggesa kamu supaya mempersembahkan diri sebagai suatu korban yang hidup, yang khas untuk Allah, dan yang menyenangkan hati-Nya. Demikianlah seharusnya kamu beribadat kepada Allah” (12:1). Janganlah kita mengikut kebiasaan dunia, sebaliknya hendaklah membiarkan “Allah membaharui cara [kita] berfikir” (Ayat 2).
Apakah hadiah terbaik yang boleh kita berikan kepada Tuhan pada hari ini? Dengan kesyukuran, rendah hati dan kasih, kita boleh mempersembahkan diri kita sepenuhnya—hati, fikiran, dan kehendak kita kepada Tuhan. Itulah yang diinginkan Tuhan daripada kita.