Don ialah seekor anjing gembala jenis border collie yang tinggal di sebuah ladang di Lanarkshire Selatan, Scotland. Pada suatu pagi, Don dan tuannya, Tom keluar untuk pergi memeriksa beberapa haiwan ternakan. Mereka menaiki sebuah trak kecil untuk kegunaan ladang. Apabila mereka tiba, Tom membiarkan kenderaan itu tanpa mematikan enjinnya dan dia terlupa untuk menarik breknya. Pada masa itu, Don berada di tempat duduk pemandu, kenderaan itu meluncur turun bukit dan melintasi dua lorong jalan raya sebelum trak itu berhenti dengan selamat. Bagi pengguna-pengguna jalan raya lain, kelihatannya seperti seekor anjing yang sedang memandu pada pagi tersebut. Sesungguhnya, sesuatu perkara yang terjadi itu tidak semestinya seperti yang kita lihat.

Elisa dan hambanya seakan-akan ditawan dan dibawa untuk menghadap Raja Aram. Tentera Raja Aram telah mengelilingi bandar tempat Elisa dan hambanya tinggal. Hamba Elisa percaya bahawa malang menimpa mereka, tetapi Elisa berkata, “Janganlah takut … Yang di pihak kita lebih banyak daripada yang di pihak [musuh]” (2 Raja-Raja 6:16). Ketika Elisa berdoa, hambanya dapat melihat sejumlah besar bala tentera dari syurga di sekeliling mereka.

Situasi yang kelihatan tiada harapan tidak selalunya seperti yang kita fikirkan. Apabila kita berasa diri dikalahkan dan pihak lawan lebih ramai daripada kita, kita boleh ingat bahawa Tuhan berada di pihak kita. Dia boleh “memerintah malaikat-Nya menjaga [kita], untuk melindungi [kita] ke mana-mana [kita] pergi” (Mazmur 91:11).