Anak lelaki saya yang masih kecil suka mendengar suara saya, kecuali apabila saya memanggil namanya dengan kuat dan keras, disertai dengan pertanyaan, “Di mana kamu?” Apabila saya memanggil dia dengan cara itu, biasanya disebabkan oleh sikap nakalnya dan cuba bersembunyi daripada saya. Saya mahu anak saya mendengar suara saya kerana saya bimbang akan keselamatannya dan tidak mahu dia dicederakan.

Adam dan Hawa sudah biasa mendengar suara Tuhan dalam taman itu. Bagaimanapun, mereka tidak mentaati Dia dengan makan buah larangan, malah mereka bersembunyi daripada Tuhan ketika mereka mendengar Dia memanggil, “Di manakah engkau?” (Kejadian 3:9). Mereka tidak mahu bersemuka dengan Tuhan kerana mereka tahu mereka telah melakukan kesalahan—sesuatu yang dilarang-Nya (Ayat 11).

Apabila Tuhan memanggil Adam dan Hawa dan menjumpai mereka di dalam taman, kata-kata Tuhan itu merangkumi pembetulan dan akibat kesalahan itu (ayat 13-19). Tetapi Tuhan juga menunjukkan kebaikan kepada mereka dan memberikan harapan kepada manusia dengan menjanjikan Penyelamat (Ayat 15).

Tuhan tidak perlu mencari kita. Dia tahu di mana kita berada dan apa yang kita cuba sembunyikan daripada-Nya. Tetapi sebagai Bapa yang mengasihi, Dia mahu bercakap dalam hati kita, mengampunkan dan memulihkan kita. Dia menginginkan kita mendengar suara-Nya—dan mengendahkan ajaran-Nya.