Bayangkan kita tidak membawa sebarang beg dalam satu perjalanan. Tiada persediaan keperluan asas. Tiada pakaian. Tiada wang atau kad kredit. Kedengaran tidak bijak dan menakutkan, bukan?

Tetapi begitulah perintah Yesus kepada dua belas orang pengikut-Nya ketika Dia mengutus mereka memulakan misi pertama untuk pergi berkhutbah dan menyembuhkan orang sakit. “Jangan bawa apa-apa dalam perjalanan, kecuali sebatang tongkat. Jangan bawa makanan, atau beg sedekah, ataupun wang. Tetapi pakailah kasut dan sehelai baju sahaja”(Markus 6:8-9).

Tetapi kemudiannya ketika Yesus sedang mempersiapkan mereka untuk pelayanan mereka setelah Dia pergi, Dia berkata kepada para pengikut-Nya, “orang yang mempunyai dompet atau beg, mesti membawanya; dan orang yang tidak mempunyai pedang, mesti menjual jubah untuk membeli pedang” (Lukas 22:36).

Apakah maksudnya? Ini bermaksud kita harus belajar untuk mempercayai pembekalan Tuhan.

Apabila Yesus merujuk semula kepada perjalanan yang pertama itu, Dia bertanya kepada para pengikut-Nya, “ ‘Apabila Aku mengutus kamu dahulu dengan tidak membawa dompet, beg, atau kasut, adakah kamu kekurangan apa-apa?’ ‘Tidak!’ jawab mereka” (Ayat 35). Para pengikut Yesus mempunyai segala yang diperlukan untuk melaksanakan apa yang telah diperintahkan Tuhan. Dia mampu memberikan kuasa kepada mereka untuk melakukan pekerjaan-Nya (Markus 6:7).

Adakah kita percaya bahawa Tuhan akan membekalkan keperluan kita? Adakah kita juga bertanggungjawab untuk membuat rancangan sendiri? Marilah kita beriman bahawa Dia akan memberikan apa yang kita perlukan untuk melaksanakan pekerjaan-Nya.