Seorang nenek memegang dua gambar dan menunjukkan kepada kawan-kawannya di foyer gereja. Gambar pertama ialah anak perempuannya di kampungnya, Burundi, Afrika Timur. Gambar kedua adalah cucu lelaki yang baru dilahirkan oleh anak perempuannya. Tetapi anak perempuannya tidak memegang bayi itu. Dia telah meninggal dunia semasa melahirkan anaknya.

Seorang kawan pergi kepada mereka dan melihat gambar-gambar tersebut. Tanpa berkata apa-apa, dia menghulurkan tangan dan memegang muka nenek tersebut. Dia hanya boleh berkata dengan berlinang-linang air mata, “Saya faham, saya faham”.

Benar sekali dia dapat memahami perasaannya. Dua bulan yang lalu, dia juga kehilangan seorang anak lelaki.

Ada sesuatu yang istimewa tentang penghiburan yang diberikan oleh orang yang pernah mengalami penderitaan seperti kita. Mereka memahami kita. Sebelum Yesus ditangkap, Dia memberi amaran kepada para pengikut-Nya, “Percayalah, kamu akan menangis dan meratap, tetapi dunia akan bersukacita.” Namun kemudian Dia menghiburkan mereka: “Kamu akan bersedih hati, tetapi kesedihan kamu itu akan berubah menjadi kegembiraan” (Yohanes 16:20). Selepas beberapa jam sahaja, para pengikut mengalami kedukacitaan kerana Yesus ditangkap dan disalibkan. Tetapi, dukacita mereka akan bertukar menjadi sukacita yang tidak terbayang apabila mereka melihat Dia hidup semula.

Yesaya menubuatkan kedatangan Yesus, “Padahal penderitaan kitalah yang ditanggungnya” (Yesaya 53:4). Kita ada seorang Penyelamat yang bukan hanya tahu tentang kesakitan kita; Dia telah melaluinya. Dia memahami. Dia mengambil peduli. Suatu hari kelak kedukaan kita akan berubah menjadi sukacita.