Makan malam yang kami sediakan untuk lima keluarga dari lima buah negara telah meninggalkan memori yang indah. Walau bagaimanapun, kami tidak terbahagi kepada beberapa kumpulan kecil, tetapi kami semua turut melibatkan diri dalam perbincangan mengenai kehidupan di London, biarpun pandangan kami datang dari pelosok dunia yang berlainan. Selepas itu, suami dan saya berpendapat bahawa kami telah menerima lebih daripada apa yang kami berikan, termasuklah kemesraan yang kami alami dalam persahabatan baru dan mempelajari mengenai budaya yang berbeza.
Penulis kitab Ibrani membuat kesimpulan tentang pemikirannya dengan kata-kata hikmat untuk kehidupan komuniti, termasuk menyeru para pembacanya terus menyambut orang yang tidak dikenali. Ini kerana dengan berbuat demikian, “Pernah orang berbuat demikian dan menyambut malaikat tanpa menyedarinya” (Ibrani 13:2). Dia mungkin merujuk kepada Abraham dan Sara dalam Kejadian 18:1-12, apabila mereka telah menjemput tiga orang yang tidak dikenali ke rumah dan memberi mereka jamuan makan, kerana ini merupakan satu adat pada zaman Alkitab. Mereka tidak tahu orang yang dilayani sebenarnya ialah malaikat-malaikat yang membawa berita berkat.
Kita tidak menyambut orang datang ke rumah kita agar kita boleh memperoleh sesuatu keuntungan daripada mereka, tetapi kerap kali kita menerima lebih daripada apa yang kita berikan. Semoga Tuhan dapat menyebarkan kasih-Nya melalui kita apabila kita menyambut orang lain dengan kasih-Nya.