Suaranya bergetar apabila dia menceritakan masalah yang dihadapi dengan anak perempuannya. Oleh sebab dia risau akan anak remajanya bergaul dengan kawan-kawan yang bermasalah, maka dia pun merampas telefon bimbit anaknya dan sentiasa mengiringi anaknya ke mana pun dia pergi. Ini menyebabkan hubungan antara ibu dan anak ini menjadi semakin renggang.

Semasa saya berbual dengan anak ini, saya mendapati bahawa dia sebenarnya sangat mengasihi ibunya. Walau bagaimanapun, dia merasakan kasih ibunya ini membebankan. Anaknya menginginkan kebebasan.

Sebagai manusia yang tidak sempurna, kita semua bergelut dalam perhubungan sesama manusia. Biarpun kita sebagai ibu bapa atau seorang anak, bujang atau berkahwin, kita bergelut untuk menunjukkan kasih dengan cara yang betul, serta bercakap dan melakukan perkara benar pada masa yang sesuai. Kita bertumbuh dalam kasih sepanjang hayat kita.

Dalam 1 Korintus 13, rasul Paulus menerangkan rupa kasih yang sempurna. Ia sangat mengagumkan, tetapi untuk mempraktikkan kasih itu tidaklah semudah yang dijangkakan. Syukurlah kita mempunyai Yesus yang menjadi contoh bagi kita. Apabila Dia berinteraksi dengan orang yang mempunyai pelbagai keperluan dan masalah, Dia menunjukkan kasih sempurna dalam perbuatan-Nya. Semasa kita berjalan dengan Dia, sambil menikmati kasih-Nya serta mendalami firman-Nya, kita akan menjadi semakin serupa dengan-Nya. Walaupun kita masih akan membuat kesilapan, Tuhan pasti memulihkan keadaan dan mengubahkan sesuatu yang buruk menjadi baik, dalam apa jua situasi pun, kerana kasih-Nya “menutupi segala sesuatu” dan ia “tidak berkesudahan” (ayat 7-8, ALKITAB TB).