Dalam percutian baru-baru ini, saya tidak mencukur janggut dan membiarkan ia bertumbuh sahaja. Kawan dan rakan sekerja memberikan banyak respons—kebanyakan adalah pujian. Namun, pada suatu hari, apabila melihat janggut saya, saya berkata, “Ini tidak sesuai bagi saya.” Kemudian saya mengeluarkan pisau cukur.

Saya pun mula berfikir tentang siapa sebenarnya diri kita dan sebabnya sesuatu perkara tidak sesuai dengan personaliti kita. Secara amnya, Tuhan telah mengurniakan setiap satu orang dengan perbezaan dan kemahuan masing-masing. Ini bukan satu masalah jika kita tidak mempunyai hobi yang sama, makan makanan yang sama atau menyembah di gereja yang sama. Setiap orang adalah unik kerana Tuhan “menciptakan aku dengan baik dan luar biasa” (Mazmur 139:14). Petrus menekankan bahawa kita semua mempunyai kurnia yang unik agar kita boleh melayani satu sama lain (1 Petrus 4:10-11).

Para pengikut Yesus masih mengekalkan keperibadian asal mereka sebelum memasuki dunia-Nya. Petrus yang sangat panas baran telah memotong telinga seorang hamba pada malam Yesus ditahan. Tomas hendak melihat bukti sebelum mempercayai bahawa Yesus telah bangkit daripada kematian. Yesus tidak menolak mereka kerana Dia tahu bahawa mereka masih perlu mengalami pertumbuhan. Dia mengubah dan membentuk sikap mereka untuk pelayanan-Nya.

Apabila kita memikirkan untuk memberikan yang terbaik dalam melayani Tuhan, adalah bijak untuk memeriksa kurnia serta keperibadian kita. Mungkin sekali-kala kita akan mengatakan, “Ini tidak sesuai bagi saya.” Namun Tuhan mungkin memanggil kita keluar dari zon keselesaan kita untuk membentuk kurnia dan personaliti kita yang tersendiri agar melakukan kehendak-Nya yang baik. Kita pula menghormati kuasa penciptaan Tuhan apabila kita mentaati Dia untuk memakai kita seadanya.