Isyarat kecemasan antarabangsa “Mayday” (Kecemasan) sentiasa diulangi sebanyak tiga kali—“Mayday-Mayday-Mayday”—agar suatu situasi diketahui dengan segera sebagai kecemasan yang menggugat nyawa. Perkataan ini mula diperkenalkan oleh Frederick Stanley Mockford pada tahun 1923, seorang pegawai radio senior di Lapangan Terbang Croydon, London. Lapangan terbang yang kini sudah ditutup ini pernah mempunyai banyak penerbangan pergi balik dari Lapangan Terbang Le Bourget di Paris. Menurut Muzium Kelautan Negara di England, Frederick mencipta perkataan tersebut daripada perkataan Perancis m’aidez, yang bermaksud “tolong saya.”

Sepanjang kehidupan Raja Daud, dia mengalami situasi yang mengancam nyawanya, bahkan situasi itu seperti tiada jalan keluar. Tetapi dalam Mazmur 86, Daud tetap percaya kepada Tuhan pada masa-masa yang paling sukar. “Dengarlah doaku, ya TUHAN, dengarlah aku minta pertolongan. Ketika aku dalam kesusahan, aku berseru kepada-Mu kerana Engkau mengabulkan doaku” (ayat 6-7).

Daud tidak berfokus kepada kebahayaan di hadapannya, tetapi dia menyeru kepada Tuhan untuk memimpin langkahnya. “Ajarlah aku kehendak-Mu, ya TUHAN, dan aku akan menurutnya dengan setia; ajarlah aku menghormati Engkau dengan sungguh-sungguh” (ayat 11). Apabila krisis telah berlalu, dia tetap hendak terus berjalan dengan Tuhan.

Situasi yang paling susah untuk kita hadapi boleh menjadi pintu masuk ke arah hubungan yang lebih intim dengan Tuhan. Ini bermula apabila kita menyeru kepada-Nya dalam kesusahan kita, dan setiap hari memimpin kita menurut jalan-Nya.