Pada hari apabila saya dan suami saya, Dan, mula memberi jagaan kepada kedua-dua ibu bapa kami yang uzur, kami saling berpegang tangan dan berasa seperti sedang melompat dari satu tebing tinggi. Namun kami tidak tahu bahawa dalam proses memberi jagaan ini, cabaran yang paling susah adalah membenarkan Tuhan menyelidiki dan membentuk hati kami, serta menggunakan waktu istimewa ini supaya kami menjadi seperti Dia dengan cara-cara yang baru.

Semasa saya berasa seakan-akan sedang jatuh ke arah bumi secara bebas dan tidak terkawal, Tuhan menunjukkan siapa sebenarnya saya: niat sebenar, kebimbangan, ketakutan, keangkuhan dan keegoan saya. Namun Dia tetap menunjukkan kasih dan pengampunan-Nya dalam kekurangan saya.

Pastor saya pernah berkata, “Hari yang terbaik adalah apabila anda melihat siapa diri anda sebenarnya, yakni seorang yang putus asa jika tanpa Yesus. Dengan itu, anda akan melihat diri sendiri sebagaimana Dia melihat anda—hidup sepenuh dalam Dia.” Ini adalah berkat yang saya alami semasa memberi penjagaan kepada ibu bapa. Apabila saya mengetahui Tuhan mencipta saya dengan tujuan yang indah dalam hidup, saya memandang semula kepada-Nya dan berlari ke arah dakapan-Nya. Saya menangis dengan pemazmur: “Selidikilah aku, ya Allah, dan selamilah hatiku” (Mazmur 139:23).

Inilah doa saya untuk anda—apabila anda melihat diri anda berada dalam masa kesukaran, anda akan memandang semula kepada-Nya dan berlari ke arah dakapan Tuhan yang sentiasa terbuka, penuh kasih sayang dan pengampunan.