Walaupun Datuk dan nenek saya tidak mempunyai banyak wang, namun mereka mampu mewujudkan memori-memori yang indah pada Hari Krismas untuk saya dan sepupu-sepupu saya. Makanan dinikmati, keseronokan dan kasih sayang selalu dirasai di rumah mereka. Sejak kecil, kami juga tahu bahawa kita merayakan hari Krismas kerana Kristus.

Kami mahu meninggalkan warisan yang sama untuk anak-anak kami. Apabila kami berkumpul bersama-sama pada bulan Disember lalu untuk menyambut Krismas dengan keluarga, kami menyedari bahawa tradisi indah ini telah dimulakan oleh datuk dan nenek. Mereka tidak dapat meninggalkan wang untuk kami, tetapi mereka amat teliti dalam menanam benih kasih sayang, hormat dan iman kepada kami—cucu mereka—agar kami juga akan mencontohi mereka.

Dalam Alkitab, kita membaca tentang nenek Lois dan ibu Eunike, yang mengongsikan iman mereka yang sungguh-sungguh kepada Timotius (2 Timotius 1:5). Pengaruh mereka telah mempersiapkan lelaki ini untuk menyebarkan berita baik kepada orang ramai.

Kita boleh menyediakan suatu warisan rohani kepada mereka yang kita pengaruhi dengan menjalani kehidupan yang selalu dekat dengan Tuhan. Dalam cara-cara praktikal, kita menunjukkan kasih-Nya secara nyata apabila kita memberi sepenuh perhatian kita kepada mereka, menunjukkan minat dalam apa yang difikirkan serta dilakukan oleh mereka, dan berkongsi hidup dengan mereka. Kita mungkin juga menjemput mereka untuk menyambut perayaan bersama-sama dengan kita! Apabila hidup kita memantulkan kasih sejati Tuhan, kita meninggalkan warisan yang berkekalan kepada orang lain.