Saya berjalan-jalan di sebuah taman berdekatan untuk merelakskan badan. Dalam perjalanan, saya tertarik akan pucuk hijau yang mula kelihatan dari tanah lumpur, yang akan bertumbuh menjadi bunga dafodil dalam beberapa minggu. Ini menandakan musim bunga akan datang tidak lama lagi. Musim sejuk berjaya diharungi!

Apabila kita membaca kitab Hosea, beberapa bahagian kitab ini seolah-olah menggambarkan musim sejuk yang tidak berkesudahan. Ini kerana Tuhan telah memberi nabi ini satu tugasan yang sukar, iaitu berkahwin dengan seorang perempuan yang tidak setia, sebagai gambaran kasih Pencipta kepada umat Israel (1:2-3). Isteri Hosea, Gomer, tidak memegang janji perkahwinan mereka, namun begitu, Hosea tetap menyambut dia kembali, dengan harapan isterinya akan menyayanginya dengan sepenuh hati (3:1-3). Begitu juga dengan Tuhan yang menginginkan kita mengasihi Dia dengan teguh dan komitmen yang tidak akan tersejat seperti embun di fajar pagi.

Bagaimanakah hubungan kita dengan Tuhan? Adakah kita hanya mencari Dia pada masa sukar dan semasa mahu mencari jawapan untuk permasalahan kita, tetapi tidak menghiraukan Dia pada waktu gembira? Adakah kita seperti orang Israel, yang mudah dipengaruhi oleh idola pada zaman ini, termasuklah kesibukan, kejayaan dan pengaruh?

Pada hari ini, marilah kita membuat komitmen baru kepada Tuhan, yang selalu mengasihi kita, seperti bunga mekar pada musim bunga.