Tajuk utama ini menarik perhatian saya: “Rehat Adalah Penting Bagi Pelari.” Dalam artikel Tommy Manning, seorang bekas ahli Pasukan Larian Gunung Amerika Syarikat, dia menekankan prinsip yang selalu tidak dihiraukan oleh kebanyakan atlet—badan kita memerlukan masa untuk berehat dan bertenaga semula selepas latihan. “Dari segi fisiologi, perubahan dalam badan hasil daripada latihan hanya akan berlaku semasa waktu rehat,” Manning menulis. “Ini bermakna waktu rehat adalah sama penting dengan waktu latihan.”

Kebenaran ini sama juga dengan iman dan pelayanan kita. Masa rehat adalah penting untuk mengelakkan kita daripada berasa tertekan dan lemah. Yesus mencari keseimbangan rohani dalam kehidupan-Nya di bumi, biarpun berhadapan dengan pelbagai permintaan. Apabila para pengikut-Nya kembali dari pelayanan penginjilan dan penyembuhan orang ramai, Yesus berkata kepada mereka, “Marilah kita pergi ke tempat yang sunyi supaya kita dapat sendirian dan kamu pun boleh berehat sekejap” (Markus 6:31). Ramai orang mengikut mereka, oleh itu Yesus mengajar dan memberi makan kepada orang ramai ini dengan hanya lima ketul roti dan dua ekor ikan (ayat 32-44). Apabila semua orang telah beredar, Yesus “pun pergi ke bukit untuk berdoa” (ayat 46).

Jika hidup kita adalah untuk bekerja sahaja, maka apa yang kita lakukan menjadi semakin kurang berkesan. Yesus sentiasa menjemput kita menyertai Dia ke satu tempat yang sunyi untuk berdoa dan berehat.