Pada suatu malam Ahad bulan September, semasa ramai orang sedang tidur, tiba-tiba kebakaran kecil telah tercetus di kedai roti Thomas Farriner di Lorong Pudding. Api merebak dari rumah ke rumah dan seluruh London ditelan api dalam Kebakaran Besar London pada tahun 1666. Seramai 70,000 orang kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran tersebut serta memusnahkan 4/5 bahagian bandar itu. Begitu dahsyatnya kemusnahan kerana api kecil!

Alkitab juga memberi amaran tentang api kecil yang mengakibatkan kemusnahan dahsyat. “Demikian juga dengan lidah kita, meskipun kecil, tetapi dapat menyombongkan perkara-perkara yang besar. Bayangkan betapa luasnya hutan yang dapat dibakar oleh api yang sangat kecil!” (Yakobus 3:5). Yakobus risau akan kehidupan dan hubungan antara manusia, bukannya bangunan.

Namun kata-kata kita juga boleh membangunkan orang. Amsal 16:24 mengingati kita, “Kata-kata yang lembut bagaikan madu – manis rasanya serta menyihatkan badan.” Rasul Paulus berkata, “Hendaklah percakapan kamu menyeronokkan dan menarik. Hendaklah kamu tahu memberikan jawapan kepada setiap orang dengan sepatutnya” (Kolose 4:6, TB). Seperti garam yang memberi perasa kepada makanan kita, kasih memberi perasa kepada perkataan dalam membangunkan seseorang.

Dengan bantuan Roh Tuhan, perkataan kita dapat mendorong orang yang terluka, yang mahu bertumbuh dalam iman mereka, atau yang hendak datang kepada Penyelamat. Perkataan kita boleh memadamkan api, dan bukannya menyalakan api itu.