Pada pagi selepas anak lelaki kami, Allen dilahirkan, doktor duduk di sebuah kerusi di hujung katil saya dan berkata, “Anak anda ada masalah kesihatan.” Anak kami yang kelihatan sempurna secara luaran sebenarnya mempunyai kecacatan yang menggugat nyawa sejak lahir. Dia perlu dipindahkan ke sebuah hospital yang terletak sejauh 1130 km untuk pembedahan segera.

Apabila doktor memberitahu anda bahawa anak anda ada masalah kesihatan, hidup anda terus berubah. Ketakutan akan menyelubungi anda, semangat menjadi lemah dan hancur. Anda berseru-seru kepada Tuhan untuk menguatkan anda agar anda dapat menjaga anak anda. Mengapakah Tuhan yang Maha Penyayang mengizinkan perkara ini? Anda berfikir. Adakah Dia mengambil berat tentang anak saya? Adakah Dia hadir? Semua persoalan ini menggoncangkan iman saya pada pagi itu.

Kemudian suami saya, Hiram, datang dan mendapat tahu tentang berita ini. Selepas doktor beredar, Hiram berkata, “Jolene, marilah kita berdoa.” Saya menganggukkan kepala dan dia memegang tangan saya. “Terima kasih Tuhan kerana memberikan Allen kepada kami. Dia milik Engkau, Tuhan, bukan milik kami. Engkau mengasihinya sebelum kami mengenalinya, dan dia kepunyaan Engkau. Engkau sentiasa bersama Allen, sementara kami tidak berdaya. Amin.”

Hiram seorang lelaki yang tidak banyak bercakap. Dia jarang menyatakan fikirannya kerana dia tahu saya orang yang suka bercakap. Tetapi pada hari itu, hati saya hancur dan iman saya menghilang, Tuhan memberi kekuatan kepada Hiram untuk mengatakan apa yang saya tidak dapat suarakan. Sambil memegang tangan suami saya, dalam kesunyian dan tangisan, saya dapat merasakan Tuhan sangat dekat kepada saya.