Dalam sesetengah budaya, seorang yang lebih muda harus memberi laluan kepada orang yang lebih tua sebelum memasuki sebuah bilik. Ada pula budaya yang memberi keutamaan kepada mereka yang paling penting atau berpangkat tinggi. Tidak kira apa pun tradisi kita, ada masanya kita berasa susah untuk memberi keutamaan kepada orang lain terlebih dahulu dalam hal-hal penting, terutamanya apabila kita yang sebenarnya memiliki hak itu.

Abram (kemudian dinamakan Abraham) dan anak saudaranya Lot, mempunyai banyak ternakan dan khemah, tetapi tanah yang didiami tidak mampu menampung mereka berdua. Untuk mengelakkan sebarang konflik, Abram bercadang untuk berpisah dan secara murah hati memberi Lot pilihan pertama untuk memilih tanah. Anak saudaranya telah memilih Lembah Yordan yang subur, dan Abram pula mengambil tanah yang kelihatan kurang baik.

Abram tidak menegaskan haknya sebagai orang yang lebih tua dalam situasi ini, sebaliknya meletakkan harapannya pada Tuhan. “Maka berkatalah Abram kepada Lot, “Janganlah kiranya ada perkelahian antara aku dan engkau, dan antara para gembalaku dan para gembalamu, sebab kita ini kerabat. Bukankah seluruh negeri ini terbuka untuk engkau? Baiklah pisahkan dirimu dari padaku. Jika engkau ke kiri, maka aku ke kanan, jika engkau ke kanan, maka aku ke kiri” (Kejadian 13:8-9, ATB). Pilihan Lot kemudian membawa akibat buruk kepada seluruh keluarganya (lihat Kejadian 19).

Pada hari ini, apabila kita berhadapan dengan pelbagai pilihan, kita boleh percaya sepenuhnya kepada pimpinan Bapa kita yang di syurga. Dia telah berjanji untuk menjaga kita. Dia akan memberi kepada kita apa yang kita perlukan.