Di negara China, sebuah tugu peringatan didirikan di tanah yang pernah menjadi kem tawanan perang Jepun, iaitu tempat seorang penginjil meninggal dunia pada tahun 1945. Tertulis pada tugu itu, “Eric Liddell dilahirkan oleh ibu bapa yang berbangsa Scotland di Tianjin pada tahun 1902. Kerjayanya mencapai kemuncak apabila dia memenangi pingat emas dalam acara 400 meter, Sukan Olimpik pada tahun 1924. Dia kembali ke China untuk bekerja sebagai seorang guru di Tianjin … Dia menghabiskan seluruh hidupnya dengan mendorong ramai orang muda untuk memberi sumbangan terbaik mereka demi kebajikan masyarakat.”
Pada pandangan ramai orang, pencapaian terbaik Eric adalah dalam arena sukan. Namun, dia juga diingati dengan sumbangannya terhadap masyarakat orang muda di Tianjin, negara kelahiran yang dikasihinya. Dia hidup dan melayani Tuhan dengan iman.
Apakah yang anda ingin diperingati? Pencapaian akademik, tahap pekerjaan, atau kejayaan kewangan kita mungkin akan menjadikan kita dikenali orang lain. Tetapi pelayanan yang dilaksanakan dalam kehidupan orang lain, itulah yang akan berkekalan lama, selepas kita meninggal dunia.
Dalam Alkitab (Ibrani 11), Musa diperingati kerana imannya, sebagai seorang yang memilih untuk bersama-sama umat Tuhan, dan tidak memilih untuk menikmati kekayaan di Mesir (ayat 26). Dia memimpin dan melayani umat Tuhan dengan iman.