Pemandangan dari kapal terbang sangat mengagumkan: beberapa jaluran ladang gandum yang sedang masak dan dusun buah-buahan kelihatan di antara dua gunung yang tandus. Sebatang sungai sedang mengalir di lembah gunung tersebut. Tanpa air yang memberi kehidupan, tiada buah akan terhasil.

Seperti tuaian besar yang memerlukan sumber air bersih, kualiti “buah” dalam kehidupan saya—iaitu kata-kata, perbuatan dan sikap saya—juga dipengaruhi oleh makanan rohani saya. Pemazmur berkata dalam Mazmur 1: “Berbahagialah orang … suka mentaati Taurat TUHAN … seperti pokok yang ditanam di tepi sungai yang berbuah pada musimnya” (Mazmur 1:1-3). Paulus juga menulis dalam Galatia 5 bahawa hasil kehidupan mereka yang “dipimpin oleh Roh Allah: Mereka saling mengasihi, bersukacita, hidup rukun, sabar, berbudi, baik hati, setia, rendah hati, dan dapat mengawal diri” (ayat 22-23).

Kadangkala perspektif saya terhadap sesuatu situasi menjadi hambar, atau perbuatan dan kata-kata saya menjadi kurang sopan. Tiada buah yang baik, dan saya mendapati bahawa saya tidak lagi mengambil masa untuk merenungkan firman Tuhan. Tetapi apabila kehidupan saya bergantung sepenuhnya kepada Tuhan, saya menghasilkan buah yang baik. Kesabaran dan sifat lemah-lembut menjadi sikap saya apabila berinteraksi dengan orang lain; kesyukuran telah menggantikan merungut.

Tuhan yang mendedahkan diri-Nya kepada kita merupakan sumber kekuatan, kebijaksanaan, kesukaan hati, pengertian, dan kesejahteraan (Mazmur 119:28,98,111,144,165). Apabila kita membenamkan jiwa kita dalam firman Tuhan yang mengarahkan kita kepada-Nya, pekerjaan Roh Tuhan akan ternyata dalam kehidupan kita.