Untuk menyambut hari jadi Winston Churchill yang ke-80, parlimen British memesan supaya pelukis Graham Sutherland melukis potret negarawan yang dihormati ini. “Bagaimanakah anda akan melukis saya?” Menurut laporan, Churchill pernah menanya pelukis tersebut: “Sebagai malaikat, atau anjing buldog?” Churchill suka akan dua tanggapan ini yang terkenal mengenainya. Graham pula menjawab bahawa dia akan melukis sesuai dengan apa yang dilihatnya.

Churchill tidak gembira dengan hasil lukisan itu. Potret Graham yang menunjukkan Churchill duduk di atas kerusi dengan muka yang marah—sungguh mirip dengan orang sebenar, tetapi tidak mengagumkan. Selepas potret itu dipamerkan secara rasmi, Churchill menyimpan lukisan itu di bilik bawah tanah. Tidak lama kemudian, ia dihapuskan secara sulit.

Seperti Churchill, kebanyakan kita ingin menunjukkan imej yang baik kepada orang lain—sama ada dari segi kejayaan, kesalihan, kecantikan, atau kekuatan. Kita boleh mencuba sedaya upaya untuk menutupi bahagian yang “kurang cantik”. Kemungkinan kita takut bahawa kita tidak akan dikasihi apabila orang lain mengenali diri sebenar kita.

Apabila orang Israel ditakluki oleh Babilonia, mereka berada dalam keadaan yang teruk. Tuhan membenarkan musuh menakluki mereka kerana dosa mereka. Tetapi Tuhan mengingatkan mereka supaya jangan takut. Ini kerana Tuhan tahu setiap nama mereka, dan Dia menyertai mereka dalam setiap pencubaan yang menghina (Yesaya 43:1-2). Mereka adalah selamat dalam tangan-Nya (ayat 13) dan “berharga” bagi Dia (ayat 4). Tuhan tetap mengasihi mereka walaupun mereka mempunyai banyak cacat cela.

Sekiranya kita mempercayai kebenaran ini, kita akan berhenti mengejar penerimaan orang lain. Tuhan tahu siapa diri kita yang sebenar, dan Dia masih mengasihi kita tanpa batasan (Efesus 3:18).