Satu pelajaran telah dipelajari apabila seorang guru dari Amerika Utara mengajar sekumpulan pelajar dari Asia Tenggara. Selepas memberi ujian berbentuk soalan objektif, dia terkejut kerana banyak soalan tidak terjawab. Ketika dia memulangkan kertas jawapan mereka, dia mencadangkan lain kali mereka patut cuba meneka jawapan, biarpun mereka tidak tahu jawapannya supaya soalan tidak dibiarkan kosong. Tiba-tiba seorang pelajar mengangkat tangan dan berkata, “Apa akan terjadi jika saya mendapat jawapan yang betul secara tidak sengaja? Ini menunjukkan saya tahu jawapannya walaupun sebenarnya saya tidak tahu.” Para pelajar dan guru ada perspektif dan tindak balas yang berbeza.

Pada zaman Perjanjian Baru, orang Yahudi dan bangsa-bangsa lain telah menerima Kristus dengan perspektif yang berbeza, seperti Timur berlainan dengan Barat. Mereka selalu bertengkar mengenai banyak perkara, seperti cara penyembahan dan kebebasan untuk makan dan minum sebagai pengikut Kristus. Rasul Paulus menyeru mereka untuk mengingati perkara yang penting: Tiada seorang pun dapat mengetahui atau menghakimi hati orang lain.

Untuk memelihara keharmonian para pengikut Tuhan, Dia menggesa kita menyedari bahawa setiap kita perlu “mempertanggungjawabkan segala perbuatan kita” kepada Tuhan (Roma 14:12), serta bertindak mengikut firman-Nya dan hati naluri kita. Namun, hanya Dia yang layak untuk menghakimi perbuatan dari niat hati kita (Roma 14:4-7).