Daud telah melakarkan pelan, mereka bentuk perabot dan mengumpulkan bahan-bahan pembangunan. Dia telah membuat segala persediaan (lihat 1 Tawarikh 28:11-19). Tetapi Rumah TUHAN yang pertama dibina di Yerusalem, dikenali sebagai Rumah TUHAN Salomo, bukannya Daud.

Kerana Tuhan berkata, “Bukan engkau yang akan membina rumah bagi-Ku” (1 Tawarikh 17:4). Tuhan telah memilih anak Daud, iaitu Salomo untuk mendirikan rumah bagi-Nya. Respons Daud terhadap penafian Tuhan boleh dijadikan teladan kita. Dia berfokus pada apa yang akan dilakukan oleh Tuhan, bukannya apa yang tidak dapat dilakukannya (1 Tawarikh 17:16-25). Dia mempunyai hati yang bersyukur. Dia berusaha sedaya upaya serta mengumpulkan orang yang berkemahiran untuk membantu Salomo dalam pembinaan Rumah TUHAN (lihat 1 Tawarikh 22).

J.G. McConville, seorang pengulas Alkitab menulis: “Kebanyakan kali kita perlu menerima hakikat bahawa dalam pelayanan Kristian yang kita sangat ingin melibatkan diri, tidak semestinya ia merupakan sesuatu yang kita mahir lakukan, atau pelayanan yang dipanggil oleh Tuhan untuk kita lakukan. Sebaliknya, seperti situasi Daud, ia mungkin suatu kerja persiapan, yang seterusnya menjadi sesuatu yang lebih hebat.”

Daud ingin memuliakan Tuhan, bukannya memuliakan diri sendiri. Dia setia melakukan apa sahaja yang dia mampu untuk Rumah TUHAN, dengan membina satu asas yang teguh, agar individu yang terpilih untuk menghabiskan kerja itu dapat melaksanakannya. Semoga kita juga mencontohi Daud, menerima tugasan yang dipilih oleh Tuhan dan melayani-Nya dengan hati yang bersyukur! Tuhan yang mengasihi kita sedang melakukan sesuatu “yang lebih hebat.”