Pada zaman kanak-kanak saya, salah satu penyakit yang paling ditakuti ialah penyakit polio yang juga disebut sebagai “kelumpuhan kanak-kanak,” kerana kebanyakan orang yang dijangkiti merupakan golongan kanak-kanak yang masih muda. Sebelum vaksin pencegah dihasilkan di pertengahan tahun 1950-an, hanya di Amerika Syarikat, sekitar 20,000 orang telah dilumpuhkan oleh polio dan kira-kira 1,000 orang meninggal dunia akibat penyakit itu setiap tahun.
Pada zaman kuno, kelumpuhan dianggap sebagai penyakit yang tidak dapat diubati dan tiada harapan. Tetapi sekumpulan orang mempercayai Yesus dapat menyembuhkan sahabat mereka yang lumpuh. Sementara Yesus sedang mengajar di sebuah kampung bernama Kapernaum, empat orang itu mengusung orang lumpuh kepada-Nya. Namun mereka tidak dapat mendekati Yesus kerana terlalu banyak orang, maka “mereka membuka bumbung rumah yang terletak tepat di atas tempat Yesus. Kemudian mereka menurunkan orang lumpuh yang terbaring di atas tikar” (Markus 2:1-4).
“Yesus melihat bahawa mereka sangat beriman. Oleh itu Dia berkata kepada orang lumpuh itu, ‘Anak-Ku, dosamu sudah diampunkan’” (ayat 5). Seterusnya Yesus berkata, “Bangunlah, angkat tikarmu, dan pulanglah!” (ayat 11). Betapa luar biasanya tindak balas Yesus terhadap iman empat orang yang telah membawa sahabat mereka, Dia mengampuni dosa-dosa orang lumpuh itu dan menyembuhkan kelumpuhan kroniknya!
Apabila seseorang sedang menghadapi kesusahan fizikal dan krisis rohani, kita mempunyai hak istimewa ini untuk bergabung dalam doa, membawa sahabat kita kepada Yesus—satu-satunya Peribadi yang dapat memenuhi keperluan terdalam mereka.