Anak perempuan kami tiba-tiba menangis ketika kami melambai untuk mengucapkan selamat tinggal kepada ibu bapa kami. Selepas melawat kami di England, mereka memulakan perjalanan panjang untuk pulang ke rumah mereka di Amerika Syarikat. “Saya tidak mahu mereka pergi,” kata anak perempuan kami. Sementara saya menenangkannya, suami saya berkata, “Saya rasa itulah disebabkan kasih.”

Kita mungkin berasa sedih disebabkan oleh perpisahan dengan orang yang dikasihi, tetapi Yesus telah merasai perpisahan yang dahsyat ketika Dia membayar harga kasih di kayu salib. Yesus yang merupakan manusia dan Tuhan, telah menggenapi nubuat Yesaya bahawa Dia “menanggung dosa banyak orang” (Yesaya 53:12) selepas tujuh ratus tahun. Dalam bab ini kita melihat petunjuk jelas yang merujuk kepada Yesus sebagai Hamba yang menderita, misalnya Dia “dilukai kerana dosa kita” (ayat 5), apabila Dia dipaku pada kayu salib serta ketika salah seorang askar telah menusuk rusuk Yesus (Yohanes 19:34), dan “kita disembuhkan kerana luka-lukanya” (Yesaya 53:5).

Disebabkan kasih, Yesus datang ke dunia dan lahir sebagai seorang bayi. Disebabkan kasih, Dia menanggung penganiayaan daripada para guru Taurat, orang ramai, dan para askar. Disebabkan kasih, Dia menderita dan mati untuk menjadi korban yang sempurna, berdiri untuk kita di hadapan Bapa. Kita hidup disebabkan kasih-Nya.