Ketika seorang pemuda ditanyakan tentang pendapatnya mengenai kejahilan dan sikap acuh tak acuh merupakan masalah dalam masyarakat moden, dia berjenaka, “Saya tidak tahu dan saya tidak peduli.”

Saya beranggapan bahawa ramai orang yang telah menjadi tawar hati kerana sikap acuh tak acuh kebanyakan orang di dunia ini. Namun dalam aspek kekeliruan dan kekhuatiran hidup kita, Yesus dapat memahami sepenuhnya dan Dia amat peduli. Yesaya 53, satu nubuat Perjanjian Lama terhadap penyaliban Yesus memberikan kita sekilas pandang kepada apa yang dilalui-Nya bagi kita. “Dia diperlakukan dengan kasar … seperti anak domba yang dibawa ke pembantaian” (ayat 7). “Dia dihukum mati kerana dosa bangsa kita” (ayat 8). “Penderitaannya memang menurut kehendak-Ku; dia menyerahkan nyawanya sebagai korban bagi pengampunan dosa. Oleh itu dia akan panjang umur; dia akan melihat keturunannya, dan melalui dia maksud-Ku akan terlaksana” (ayat 10).

Di kayu salib, Yesus rela menanggung dosa dan kesalahan kita. Tiada seorang pun pernah menanggung penderitaan seperti apa yang dilakukan Tuhan bagi kita. Dia tahu apa harganya untuk menyelamatkan kita daripada dosa kita, dan Dia rela membayarnya dalam kasih (ayat 4–6).

Oleh sebab Yesus telah bangkit daripada kematian, maka Dia hidup dan menyertai kita pada hari ini. Apa jua keadaan yang kita hadapi, Yesus memahami dan mengambil peduli. Dia akan memimpin kita mengharunginya.