Pada suatu pagi di Perth, Australia, Fionn Mulholland mendapati bahawa keretanya telah hilang. Dia menyedari kesalahannya yang meletakkan kenderaan di zon larangan. Akibatnya, keretanya telah ditunda. Selepas memikirkan situasi tersebut—termasuklah wang bayaran untuk penundaan kereta sebanyak $600 (lebih kurang RM2050) serta saman salah meletakkan kereta—Mulholland berasa kecewa. Namun dia memutuskan untuk tidak melepaskan kemarahan ketika dia berurusan untuk mendapatkan kembali keretanya. Dia tidak meluahkan perasaannya, tetapi sebaliknya dia menulis sebuah puisi lucu tentang situasi tersebut lalu membacanya kepada pekerja di kawasan penundaan kereta. Pekerja itu menyukai puisinya, dan ini telah mengelakkan sebarang konfrontasi yang mungkin terjadi.
Kitab Amsal mengajar kita, “Sikap yang terpuji adalah menjauhi pertengkaran” (20:3). Persengketaan merupakan pergeseran yang membara dalam hati ataupun meletus keluar antara orang yang bertentangan pendapat dalam sesuatu hal.
Tuhan telah memberikan sumber kepada kita untuk hidup aman dengan orang lain. Firman-Nya meyakinkan bahawa kita tidak perlu meledakkan kemarahan kita (Efesus 4:26). Roh-Nya memampukan kita mengatasi keberangan yang menyebabkan kita melakukan dan mengatakan sesuatu untuk menyerang orang yang menjadikan kita marah. Tuhan juga telah memberikan kita contoh untuk diteladani ketika kita menghadapi provokasi (1 Petrus 2:23). Dia pengasih, penyayang, sentiasa sabar, baik dan setia (Mazmur 86:15).
Kita harus lambat naik marah.