Kita pasti pernah merasakan hinaan, tidak dipedulikan, ataupun dipandang rendah dalam hal-hal tertentu. Kadangkala kita sendiri pun melakukannya terhadap diri sendiri.

Musuh Daud menyerangnya dengan kata-kata membuli, mengancam dan ejekan. Harga diri dan keyakinannya pun terjejas (Mazmur 4:2–3). Dia meminta kelegaan daripada penderitaannya.

Kemudian Daud mengingat kembali, “Ingatlah bahawa TUHAN telah memilih orang yang taat kepada-Nya sebagai milik-Nya” (ayat 4). Pelbagai versi terjemahan cuba menangkap makna penuh tentang pernyataan Daud yang berani ini dengan menterjemahkan “hamba yang setia” sebagai “orang yang kudus.” Perkataan Ibrani di sini ialah hesed, yang secara harfiah merujuk kepada kasih perjanjian Tuhan dan paling tepat dimengerti sebagai “orang yang akan dikasihi oleh Tuhan selama-lamanya.”

Kita juga harus mengingat hal ini: Kita dikasihi selamanya, dipilih serta dipanggil melalui cara yang istimewa, umat yang disayangi oleh Tuhan seperti Anak-Nya sendiri. Dia telah memanggil kita untuk menjadi anak-Nya selamanya.

Kita boleh mengingatkan diri kita akan kasih yang diterima secara percuma daripada Bapa kita, dan bukannya berasa putus asa. Kita merupakan anak yang sangat dikasihi-Nya. Kesudahan hidup kita bukanlah keputusasaan, melainkan ketenteraman dan sukacita (ayat 8–9). Dia tidak pernah berputus asa terhadap kita, dan Dia tidak pernah berhenti mengasihi kita.