Apakah yang akan anda lakukan jika Tuhan muncul dengan satu mesej ketika anda sedang bekerja? Perkara ini berlaku kepada Gideon, seorang umat Israel. Malaikat Tuhan menampakkan diri kepadanya dan berkata, “TUHAN menyertai engkau, hai pemuda yang gagah berani!” Gideon boleh sahaja menjawab menganggukkan kepalanya, sebaliknya dia berkata, “Jika TUHAN sungguh menyertai kami, mengapakah segala perkara ini berlaku kepada kami?” (Hakim-hakim 6:12-13). Gideon ingin tahu sebab Tuhan seakan-akan telah meninggalkan umat-Nya.
Tuhan tidak menjawab persoalan itu. Selepas Gideon mengharungi serangan daripada musuh selama tujuh tahun, mengalami kelaparan, dan bersembunyi di gua, Tuhan tetap tidak memberitahunya sebab Dia tidak campur tangan. Tuhan boleh berkata bahawa dosa umat Israel yang dahulu adalah faktor segala penderitaan mereka, tetapi Dia memberi Gideon satu harapan untuk masa depan. Tuhan berkata, “Dengan segenap tenagamu, pergilah bebaskan orang Israel … Aku akan menolong engkau, kerana itu engkau pasti berjaya. Engkau akan mengalahkan orang Midian” (ayat 14, 16).
Pernahkan anda tertanya-tanya sebab Tuhan membenarkan kesengsaraan terjadi dalam kehidupan anda? Tuhan mungkin tidak menjawab soalan spesifik itu, namun Dia dekat kepada anda pada hari ini, dan mengingatkan anda supaya meletakkan harapan pada kekuatan-Nya apabila anda berasa lemah. Apabila Gideon akhirnya mempercayai bahawa Tuhan menyertainya dan akan membantunya, dia membina satu mazbah lalu menamakannya “TUHAN Sumber Kesejahteraan” (ayat 24).
Walau apapun yang kita buat atau ke mana pun kita pergi, kita berasa tenang apabila mengetahui bahawa kita mengikuti Tuhan yang sudah menjanjikan Dia tidak akan meninggalkan pengikut-Nya.