Walaupun kawan saya Mickey mula kehilangan penglihatannya, dia memberitahu saya, “Saya akan terus memuji Tuhan setiap hari, kerana Dia telah melakukan banyak perkara untuk saya.”
Yesus memberi Mickey dan kesemua kita sebab utama untuk memberi pujian yang tidak berkesudahan. Kitab Matius 26 menceritakan Yesus makan Jamuan Paska dengan para pengikut-Nya pada waktu malam sebelum Dia disalibkan. Ayat 30 menunjukkan bagaimana mereka mengakhiri jamuan tersebut: “Setelah mereka menyanyikan sebuah nyanyian pujian, mereka pergi ke Bukit Zaitun.”
Mereka tidak menyanyikan lagu sembarangan pada malam itu—ia adalah lagu pujian. Selama berabad-abad, orang Yahudi menyanyikan Mazmur yang dipanggil “The Hallel” semasa Jamuan Paska (hallel bermaksud “pujian” dalam bahasa Ibrani). Penghujung doa dan lagu pujian yang terdapat dalam Mazmur 113-118 memberi kemuliaan kepada Tuhan sebagai penyelamat kita (118:21). Ia merujuk kepada satu batu yang dibuang, yang akhirnya menjadi batu paling utama (ayat 22) dan seorang yang datang demi nama Tuhan (ayat 26). Mereka sudah menyanyi, “Inilah hari kemenangan TUHAN; marilah kita rayakannya dengan gembira.” (ayat 24).
Semasa Yesus menyanyi dengan para pengikut-Nya pada malam Jamuan Paska, Dia memberikan kita sebab utama untuk berfokus pada Tuhan dan bukannya masalah kita. Dia memimpin kita untuk memuji kesetiaan serta kasih Tuhan yang tidak berkesudahan.