Suatu hari, saya datang awal ke gereja untuk membantu dalam satu acara. Seorang wanita yang sedang berdiri di hujung arah bertentangan saya menangis. Dia pernah melakukan sesuatu yang jahat serta mengumpat saya pada suatu masa dahulu. Oleh itu, saya juga tidak mengendahkan tangisannya. Kenapa saya perlu menjaga hati seseorang yang tidak suka akan saya?

Apabila Roh Kudus mengingatkan saya bagaimana Tuhan telah mengampuni saya, saya berjalan ke arahnya. Wanita itu berkongsi bahawa bayinya telah tinggal di hospital selama beberapa bulan. Kami menangis bersama, berpeluk dan berdoa untuk anak perempuannya. Setelah menyelesaikan perselisihan kami, sekarang kami menjadi kawan baik.

Dalam Matius 18, Yesus membandingkan kerajaan syurga dengan seorang raja yang hendak memeriksa akaun hamba-hambanya. Seorang hamba yang berhutang besar telah meminta ampun daripada raja. Setelah raja menghapuskan hutangnya, dia berjumpa dengan seorang rakannya yang berhutang hanya sedikit kepadanya berbanding hutangnya kepada raja, malah memaksa rakan itu melunaskan hutangnya. Apabila raja mengetahui hal ini, hamba yang berhutang banyak tersebut dipenjarakan kerana tidak ingin mengampuni orang (ayat 23-34).

Memilih untuk mengampuni seseorang bukannya membiarkan dosa berlarutan, mencari alasan bagi kesalahan orang lain ke atas kita, ataupun mengurangkan kesakitan hati kita. Pengampunan akan membebaskan kita untuk menerima belas kasihan Tuhan yang kita tidak layak terima semasa kita menjemput Dia menghabiskan kerja perdamaian—memulihkan rahmat dalam kehidupan dan perhubungan kita.