Pengalaman kehilangan atau kegagalan mungkin meninggalkan perasaan marah, bersalah, dan keliru dalam diri kita. Sama ada kita memilih untuk melupakan pengalaman yang pahit, atau tragedi yang bukan disebabkan kesalahan kita telah menimpa kehidupan kita. Kesimpulannya adalah seperti yang dikatakan oleh Oswald Chambers, iaitu kita terjebak dalam “kesedihan yang tidak terkata tetapi mengharapkan hasil yang berbeza”. Kita mungkin cuba memendamkan memori pahit itu, tetapi kita tidak berdaya.

Chambers mengingatkan kita bahawa Tuhan masih aktif dalam kehidupan kita. “Jangan takut jika Tuhan membawa kembali masa silam kita,” dia berkata. “Biarlah memori ini kembali. Tuhan boleh bekerja melalui segala teguran, kesengsaraan dan kepiluan dalam memori ini. Tuhan akan mengubah ‘apa yang mungkin berlaku’ kepada pertumbuhan yang indah untuk masa depan.”

Pada masa Perjanjian Lama, Tuhan menghantar umat Israel ke Babilonia sebagai orang buangan. Dia memberitahu mereka untuk melayani-Nya di tempat orang asing dan bertumbuh dalam iman mereka sehingga Dia membawa mereka pulang ke rumah mereka. “Aku sendiri tahu akan rancangan-Ku untuk kamu. Rancangan itu bukan untuk mencelakakan kamu, tetapi untuk kemakmuran kamu dan untuk memberikan masa depan yang kamu harap-harapkan” (Yeremia 29:11).

Tuhan menggesa mereka untuk sentiasa peka dan tidak terperangkap dalam kejadian masa lampau, tetapi fokus kepada Dia serta memandang ke masa depan. Pengampunan Tuhan boleh mengubah memori kesedihan kita kepada keyakinan dalam kasih Tuhan yang tidak berkesudahan.