Sejak beberapa tahun yang lalu, dua orang ahli keluarga saya telah menghidapi penyakit kronik. Bagi saya, perkara yang paling sukar adalah mengalami ketidakpastian ketika menemani mereka melalui proses rawatan. Saya selalu menginginkan kenyataan pasti daripada doktor, tetapi perkara sebegini sering kali tidak mempunyai jawapan jelas. Kita sering dipanggil untuk menunggu, dan tidak diberikan sebab yang jelas dan pasti.
Beban ketidakpastian tidak mudah dipikul, kita selalu tertanya-tanya keputusan dalam ujian kesihatan yang seterusnya. Berapakah minggu, bulan, tahun atau dekad sebelum kematian memisahkan kita? Tidak kira apa penyakit atau keputusan, setiap orang akan mati pada suatu hari nanti—perkara seperti kanser hanya menunjukkan kematian kita kian dekat, bukannya menyembunyikan hal itu jauh dalam fikiran kita.
Apabila kita diingatkan betapa pendeknya usia kita, doa saya adalah seperti doa Musa. Mazmur 90 mengatakan kita umpama rumput bertunas yang layu dan mati (ayat 5-6), Tuhan menjadi tempat perlindungan kita yang kekal (ayat 1). Seperti Musa, kita boleh meminta Tuhan untuk mengajar kita menghitung hari kehidupan kita, supaya kita menjadi bijak bestari (ayat 12), dan mencapai kejayaan dalam segala usaha bagi-Nya sepanjang hayat kita yang pendek ini (ayat 17). Kesimpulannya, mazmur ini mengingatkan kita bahawa harapan kita bukan pada diagnosis doktor, tetapi pada Tuhan yang “kekal selama-lamanya”.