Saya menerima satu e-mel yang indah yang ditulis oleh seorang wanita, “Ibu anda merupakan guru darjah satu saya di Kota Putnam pada tahun 1958. Dia seorang guru yang hebat dan baik hati, tetapi tegas! Dia meminta kami menghafal Mazmur 23 lalu melafazkannya di depan kelas, dan saya sangat takut. Itu merupakan satu-satunya masa saya membaca Alkitab sebelum saya menjadi seorang Kristian pada tahun 1997. Memori tentang Puan McCasland kembali setiap kali saya membaca mazmur ini.”

Yesus menceritakan satu perumpamaan kepada orang ramai tentang seorang penabur yang menaburkan benih pada tanah yang berbeza—di pinggir jalan, tempat berbatu, semak berduri dan tanah subur (Matius 13:1-9). Sementara ada benih yang tidak pernah bertumbuh, “benih yang jatuh di tanah subur bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu lalu memahaminya, dan berbuah banyak; ada yang seratus kali ganda, ada yang enam puluh kali ganda, dan ada yang tiga puluh kali ganda” (ayat 23).

Selama dua puluh tahun ibu saya mengajar pelajar darjah satu di sekolah awam tentang kemahiran membaca, menulis dan mengira, dia juga menaburkan benih belas kasihan dan mesej tentang kasih Tuhan.

Dalam e-mel bekas pelajarnya itu, dia menyimpulkan, “Selepas itu, saya mendapat dorongan lain sepanjang perjalanan saya sebagai seorang Kristian. Namun Mazmur 23 dan naluri lembut ibu anda tetap dikenang dalam hati saya.”

Benih kasih Tuhan yang ditanam pada hari ini mungkin akan menghasilkan penuaian hebat.