Penyajak Samuel Foss menulis, “Biarlah saya hidup di tepi jalan dan menjadi kawan kepada orang lain” (The House by the Side of the Road). Itulah yang saya ingin jadi—menjadi kawan kepada orang. Saya hendak berdiri di tepi jalan, menunggu pengembara yang keletihan, mencari mereka yang telah didera dan dipersalahkan oleh orang lain, serta mereka yang sedang mengangkat beban hati yang terluka dan kecewa. Saya berharap untuk memberi dorongan dan menyegarkan mereka dengan perkataan yang mengalakkan, kemudian menghantar mereka untuk meneruskan perjalanan mereka. Saya mungkin tidak dapat “membaiki” mereka atau masalah mereka, tetapi saya dapat memberi mereka berkat.

Melkisedek, raja Salem dan imam Tuhan telah memberkati Abram semasa dia pulang dengan keletihan dari medan perang (Kejadian 14). Kata-kata berkat kita kepada orang lain bukan hanya kata-kata sopan. Kita betul-betul memberkati seseorang apabila kita membawa mereka kepada sumber segala berkat—Tuhan. Melkisedek memberkati Abram dengan berkata, “Semoga Allah Yang Maha Tinggi, yang sudah menciptakan langit dan bumi, memberkati Abram” (ayat 19).

Kita boleh memberkati orang lain dengan berdoa untuk mereka; membawa mereka menghadap takhta rahmat untuk mencari pertolongan pada masa kesusahan (Ibrani 4:16). Kita mungkin tidak dapat mengubah keadaan semasa mereka, tetapi kita boleh menunjukkan mereka ke arah Tuhan. Itulah yang dilakukan oleh seorang kawan sejati.