Pelekat bertema anti-Tuhan telah menarik perhatian seorang profesor di universiti. Sebagai seorang yang dahulunya ateis, yakni tidak percaya akan kewujudan Tuhan, profesor itu berfikir bahawa pemandu kereta itu ingin membuat pengikut Tuhan marah. “Kemarahan pengikut Tuhan membantu ateis itu terus mengekalkan ketidakpercayaannya,” dia menerangkan. Kemudian dia memberi amaran, “Banyak kali ateis ”membuktikan” dirinya dengan berjaya membangkitkan kemarahan orang lain.”
Ketika dia mengimbas kembali perjalanan imannya, profesor ini menyebutkan seorang kawan Kristian yang prihatin telah menjemputnya untuk mengenal kebenaran Yesus. Desakan kawan itu bagi penyelamatan jiwanya telah “dinyatakan tanpa rasa marah.” Dia tidak akan melupakan penghormatan dan kasih kawannya yang ikhlas pada hari itu.
Pengikut Yesus selalu menjadi tersinggung apabila orang lain menolak Dia. Tetapi bagaimana pula perasaan Dia tentang penolakan itu? Yesus kerap kali mengalami bahaya dan kebencian, namun Dia tidak pernah goyah tentang ketuhanan-Nya. Suatu masa dulu, apabila satu pekan menolak untuk menyambut Yesus dan para pengikut-Nya, Yakobus dan Yohanes mahu penghakiman dijatuhkan dengan serta-merta. “Tuhan, adakah Tuhan mahu kami meminta api turun dari syurga untuk membinasakan mereka?” (Lukas 9:54). Yesus menolak cadangan ini, malah Dia “berpaling lalu memarahi mereka” (ayat 55), ini kerana “Allah mengutus Anak-Nya ke dunia ini bukan untuk menghakimi dunia, tetapi untuk menyelamatkannya” (Yohanes 3:17).
Mungkin kita akan terkejut memikirkan bahawa Tuhan tidak memerlukan kita untuk mempertahankan-Nya. Dia mahu kita mewakili Dia! Hal itu mengambil masa, usaha, kesabaran dan kasih.