Saya bersetuju dengan sukacita untuk menjaga cucu-cucu saya sementara ibu bapa mereka keluar pada waktu petang suatu hari. Selepas memberi salam dengan memeluk cucu-cucu lelaki saya, saya bertanya apa yang telah dilakukan mereka pada hari minggu itu. (Kedua-dua mempunyai pengembaraan yang berbeza). Bridger, berumur 3 tahun, bercerita dengan seronok bahawa dia telah bermalam bersama pak cik dan mak ciknya—dan makan ais krim, menaiki kuda karusel dan menonton wayang! Kemudian saya bertanya kepada Samuel yang berumur 5 tahun apa yang dilakukannya, dia hanya menjawab, “Berkhemah.” “Adakah kamu berasa seronok?” saya bertanya. “Tidak sangat,”jawabnya dengan wajah yang pilu.
Samuel yang berumur 5 tahun telah mengalami perasaan yang telah wujud sejak lama—iri hati. Dia telah melupakan betapa gembiranya dan seronok untuk berkhemah dengan ayahnya, apabila dia mendengar adiknya bercerita dengan seronok tentang pengalamannya pada hujung minggu.
Kita juga boleh menjadi iri hati. Raja Saul membenarkan perasaan iri hati meresap ke dalam hatinya apabila dia mendengar pujian yang diterima oleh Daud melebihi pujiannya: “Raja Saul membunuh beribu-ribu orang musuh, tetapi Daud membunuh berpuluh-puluh ribu orang musuh” (1 Samuel 18:7). Raja Saul murka dan “sejak hari itu Raja Saul iri hati tehadap Daud” (ayat 9). Dia menjadi sangat murka sehingga hendak membunuh Daud!
Permainan perbandingan adalah permainan yang bodoh dan merosakkan diri. Orang lain mesti memiliki sesuatu yang kita tidak miliki atau menikmati pengalaman yang berbeza dengan kita. Tetapi Tuhan telah memberikan kita banyak berkat, yakni kehidupan di dunia ini dan janji akan kehidupan kekal kepada mereka yang percaya kepada-Nya. Dengan bergantung kepada pertolongan-Nya dan berfokus kepada-Nya dalam kesyukuran, segala ini boleh membantu kita mengatasi perasaan iri hati.